Friday, May 10, 2013

PENGLIBATAN IBU BAPA DALAM TASKA MEMBANTU PERKEMBANGAN DAN KEJAYAAN KANAK-KANAK



Oleh: Rosnah Ahamd

Selamat hari ibu diucapkan kepada semua insan yang bergelar ibu.

Saban tahun hari ibu diraikan bagi mengingati jasa dan pengorbanan ibu yang melahirkan, mengasuh dan mendidik anak-anak.

Bagi saya sambutan hari ibu adalah hari bagi memperingatkan saya tentang peranan saya sebagai ibu kepada tiga orang anak. Dua  anak saya sudah remaja. Cabaran menjadi ibu hari ini berbeza sekali berbanding zaman ibu saya dahulu. Ilmu dan kemahiran keibubapaan perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi membantu melaksanakan amanah mendidik anak-anak kini.

Anak-anak kecil kini melalui zaman kanak-kanak yang berbeza. Kalau dulu anak  lazimnya dijaga di rumah oleh ibu bapa sehingga usia anak bersedia ke tadika. Peredaran masa yang menyaksikan lebih ramai wanita keluar bekerja bagaimanapun mengubah bagaimana anak kita di asuh dan di didik. Ramai anak kini dihantar ke taska atau taska rumah sepeninggalan ibu mereka keluar bekerja.

Maka tugas mengasuh dan mendidik anak  kini perlu dikongsi dengan pengasuh taska atau pengasuh  taska rumah. Pengasuh adalah ibu ganti kepada anak-anak dalam sebahagian besar hidup mereka iaitu lebih kurang 10 hingga 12 jam sehari bagi ibu-ibu yang bekerja sepenuh masa. Sewajarnya jasa dan peranan pengasuh juga perlu lebih diiktiraf dan di beri perhatian seiring dengan jasa dan peranan ibu bapa.

Ibu bapa adalah pendidik utama dan  rumah adalah madrasah pertama bagi anak-anak. Taska adalah sistem sokongan kepada institusi kekeluargaan. Oleh itu ibu bapa berperanan menghubungkan rumah dan taska untuk kepentingan anak mereka. Ibu bapa harus mengambil inisiatif melibatkan diri  di Taska. Konsep penglibatan ibu bapa harus lebih dihayati. Ia bukan hanya sekadar menghadiri program tahunan seperti gotong royong atau sambutan hari perayaan. Ia juga termasuk perkongsian maklumat dan masalah, perkongsian ilmu keibubapaan serta perbincangan secara berterusan berkaitan perkembangan kanak-kanak.

Mengapa penglibatan ibu bapa sangat penting:-

Ø  Ibu bapa sayang kepada anak mereka dan mengenali personaliti serta identiti anak mereka. Mereka juga sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak.  Manakala pengasuh juga sayang kepada anak jagaan dan dilatih kemahiran berkaitan perkembangan kanak-kanak. Pengasuh  senantiasa memastikan kesejahteraan dan cuba memupuk potensi anak. Jadi kanak-kanak akan merasa selamat dengan adanya perhubungan yang baik antara ibu bapa dan pengasuh. Ia juga memastikan kanak-kanak mendapat pengasuhan dan pendidikan yang terbaik .

Ø  Perkongsian, perhubungan, interaksi,  kerjasama dan sokongan ibu bapa dan pengasuh dapat meningkatkan perkembangan kanak-kanak
Penglibatan ibu bapa dalam pendidikan kanak-kanak dapat meneguhkan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak dan membantu mengekalkan kejayaannya.
( Rohani Abdullah, 2007)
Ø  Ibu bapa boleh berbincang dengan pengasuh berkaitan perkembangan, tingkah laku dan apa sahaja masalah yang dihadapi. Perbincangan dan perkongsian begini dapat menyelesaikan banyak masalah dan  meningkatkan kemahiran keibubapaan. Ia juga  menolong pengasuh memahami serta menghormati pandangan, budaya dan latar belakang keluarga.

Ø  Penglibatan diri ibu bapa dapat meningkatkan lagi program dan aktiviti di taska dan seterusnya membantu meningkatkan kualiti taska.

Sesetengah pengasuh merasa kecewa apabila ibu bapa tidak menyokong penglibatan ibu bapa di taska.. Ibu bapa perlu berusaha dan memberi komitmen yang lebih kepada usaha-usaha penglibatan ibu bapa di taska anak mereka. Dengan itu pengasuh akan lebih yakin, bersemangat dan seronok untuk meneruskan usaha serta merasakan diri mereka dihargai sebagai orang yang penting dalam hidup anak mereka.

Ø  Penglibatan ibu bapa yang sihat akan meningkatkan kualiti sistem kekeluargaan,  sistem komuniti setempat dan  seterusnya memberi impak yang besar kepada kesejahteraan negara.

Sempena Hari Ibu ini, Persatuan Pengasuh Negeri Pahang (PPNP) sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif  menggembleng tenaga berusaha meningkatkan penglibatan ibu bapa bagi memastikan peningkatan kualiti pengasuhan dan pendidikan kanak-kanak di semua taska di Negeri Pahang.

Antaranya PPNP memperkenalkan penggunaan  Log Harian di Taska. Log harian ini bertujuan mencatat secara ringkas dan tepat apa yang berlaku sepanjang hari termasuk:-


       - KESELAMATAN DAN KESIHATAN

      Masa ketibaan siapa yang menghantar, barang yang di bawa dan tahap kesihatan anak     pada hari itu. ( maklumat ini akan diisi oleh ibu bapa setiap hari)
     
      - MEREKOD KEADAAN FIZIKAL
   
            Catatan kesihatan anak dan pemeriksaan fizikal. ( diisi oleh ibu bapa dan pengasuh)

   -  MEREKOD AKTIVITI HARIAN
-  MEREKOD TINGKAHLAKU
-  MEREKOD RUTIN  DARI ASPEK KUANTITI &KEKERAPAN

      Pengasuh akan mencatat perkara-perkara ini untuk rujukan dan tindakan seterusnya oleh ibu bapa di rumah.

Penggunaan log harian ini akan menjadi asas komunikasi harian dan perkongsian maklumat antara ibu bapa dan pengasuh demi kesejahteraan kanak-kanak. Ini dapat melancarkan perkhidmatan taska dan mengurangkan salah faham antara ibu bapa dan pengasuh.

Usaha menulis log harian ini memerlukan sedikit komitmen daripada ibu bapa dan pengasuh. Apa pun usaha ini  membantu  menjamin keselamatan, kesihatan serta memperkukuhkan  kesinambungan pembelajaran yang di amalkan di taska dan amalan di rumah.

PPNP berharap sebarang masalah atau kesulitan yang mungkin timbul dalam proses melaksanakan penggunaan log harian ini secara efektif di semua taska dapat ditangani secara bijak professional. 

Perbincangan yang sihat antara ibu bapa dan pengasuh akan dapat menyelesaikan masalah malah akan dapat mempertingkatkan kualiti pengasuhan. PPNP juga sangat mengalu-alukan sebarang cadangan dan penambahbaikan log harian ini dari masa ke semasa.

Akhir kata saya bagi pihak PPNP senantiasa berdoa agar kita sentiasa bersatu dan berdoa agar segala usaha murni kita dimudahNya demi kesejahteraan generasi pewaris.

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Sekian. Wallahua’lam.

Rosnah Ahmad (http://rentis.blogspot.com)
Penasihat Persatuan Pengasuh Negeri Pahang (http://pengasuhpahang.blogspot.com)
10 Mei 2013

Thursday, May 2, 2013

MESYUARAT PENGUSAHA DAN BENGKEL BUKU LOG HARIAN KANAK-KANAK

Salam kepada semua,

Satu mesyuarat pengusaha dan bengkel buku log harian kanak-kanak akan diadakan seperti berikut:

Tarikh : 11 hb Mei, 2013 (Sabtu)

Masa : 8.30 pagi hingga 2.00 pm

Tempat : Komplek Dagangan Mahkota, Indera Mahkota Kuantan


Agenda mesyuarat

1. Penerangan pemberian subsidi yuran kanak-kanak TASKA
2. Penerangan pemberian subsidi geran pembukaan TASKA baru
3.Penangguhan pemakaian gaji minima
4. Hal-hal lain dan isu semasa

Untuk pengesahan kehadiran sila hubungi Pn Julia Abdullah (Zon Barat) - 019-2754575 atau Pn Zubaidah Husin (Zon Timur) - 017-9190664/013-9390748

Sekian harap Maklum

Wednesday, April 24, 2013

SUBSIDI YURAN KANAK-KANAK TASKA

Kepada semua Pengusaha TASKA di Negeri Pahang.

Sila layari http://www.jkm.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=955&lang=en untuk maklumat berkenaan dengan subsidi yuran kanak-kanak TASKA.

Sila ikut arahan yang diberikan oleh JKM Malaysia.

Subsidi yuran kepada kanak-kanak TASKA adalah salah satu insentif kerajaan dalam membantu pengusaha TASKA bagi menangani masalah pemakaian gaji minima.

Sebarang pertanyaan boleh berhubung terus dengan wakil Persatuan Pengasug Negeri Pahang,

Sekian.

Wednesday, April 17, 2013

PROGRAM `TEAM BUILDING’ UNTUK PENGUSAHA/PENYELIA ANJURAN PERSATUAN PENGASUH NEGERI PAHANG




PPNP akan menganjurkan satu program berunsur ilmiah bagi pemantapan dalam mengurus dan mentadbir TASKA dengan lebih efisien seperti berikut:

Tarikh                                17 hingga 19 hb Mei, 2013
Tempat                               Kem SMART BKERP,
                                              No 118A, Kampung Lebu,
                                              28800 Bentong, Pahang Darul Makmur.
Masa pendaftaran             17 hb Mei 2013 (6.00 pm) 
Bayaran                             RM150 seorang

Objektif program ini dianjurkan sperti berikut:

a)               Pengukuhan dalam pasukan (TASKA)
b)               Mengubah persepsi diri kea rah yang lebih positif dalam mengendalikan TASKA
c)             Mencuba sesuatu yang baru dengan konsep `playshop’ bukannya `workshop’ dalam pengendalian di TASKA
d)               Membentuk diri sebagai pengusaha/penyelia yang sebenar.

Program ini adalah program yang berbentuk `soft-skills’ dimana tiada aktiviti lasak akan dijalankan, jadi ianya sangat sesuai bagi seorang pengusaha atau pun penyelia.

Pengangkutan pergi dan balik dengan menaiki bas akan disediakan kepada semua peserta. Bas akan berpusat di Kuantan dan Temerloh sahaja. Walau bagaimana pun sekiranya terdapat laluan bas ke destinasi program maka pengusaha boleh maklumkan kepada urusetia untuk mengambil dimana difikirkan sesuai.

Pakaian semasa program adalah yang sesuai dan tidak menjolok mata. Memakai seluar (bukan jeans) adalah digalakkan.Program adalah program penuh maka semua makanan dan penginapan adalah disediakan.

Bayaran hendaklah dibayar ke akaun PPNP 06110009712054 CIMB Bank sebelum atau pada 10 hb Mei, 2013.  

Pendaftaran dan pengesahan untuk mengikuti program ini hendaklah dengan menghubungi terus Setiausaha Program Puan Julia Abdullah ditalian 019-2754575.

Sebarang pertanyaan boleh berhubung terus dengan Setiausaha Program Puan Julia Abdullah ditalian 019-2754575 atau Pengarah Program Puan Salina Shamsudin ditalian 013-9811744.

Monday, April 8, 2013

HATI-HATI DENGAN PENCEROBOH DI TASKA

Baru beberapa hari yang lalu, sebuah TASKA di Sg Isap Kuantan telah di datangi oleh `sepasang suami isteri' yang menyamar sebagai Pegawai JKM dari Putrajaya. Penceroboh ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah mempunyai niat jahat samada ingin menculik kanak-kanak atau pun mencuri di TASKA.

Sebelum ini pihak PPNP telah dimaklumkan kejadian yang sama telah berlaku di beberapa TASKA di Temerloh. Sehubungan dengan kejadian yang tidak diingini ini, pihak PPNP menasihatkan semua pengusaha TASKA agar tidak membenarkan sama sekali orang yang tidak dikenali untuk memasuki kawasan TASKA.

Harap Maklum

Thursday, April 4, 2013

MAKLUMAT DAN DOKUMEN YANG DIPERLUKAN OLEH MAJLIS PERUNDINGAN GAJI NEGARA

PENGUMUMAN DARIPADA PERSATUAN PENGASUH NEGERI PAHANG


Bagi membantu permasalahan yang melanda semua pengusaha dalam isu pemakaian gaji minima, Majlis Perundingan Gaji Negara dalam rangka untuk membantu pengusaha TASKA Institusi. Bagi memudahkan semua pihak, MPGN telah memaklumkan kepada PPNP untuk memaklumkan kepada semua pengusaha TASKA di Negeri Pahang supaya menghantar beberapa dokumen ke MPGN pada atau sebelum 30 hb Jun, 2013. Tujuan penghantaran dokumen ke MPGN adalah untuk tujuan penangguhan pembayaran gaji minima kepada pekerja ke satu tarikh yang belum ditentukan oleh MPGN. Kita berharap agar penangguhan ini sehinggalah subsidi kerajaan diberi kepada semua pengusaha TASKA Institusi. Dokumen hendaklah melalui pos laju (pos biasa tidak digalakkan) ke MPGN , menghantar sendiri ke MPGN atau mewakilkan pihak PPNP untuk menghantar bagi pihak semua TASKA di Negeri Pahang. Dokumen yang diperlukan seperti berikut:

1. Surat menyatakan mengapa pengusaha perlukan penangguhan sehingga mendapat subsidi daripada kerajaan.

2. Salinan SSM

3. Salinan Penyata kewangan untuk 3 tahun terakhir (2012, 2011 dan 2010) (bukan bank statement)

4. Senarai pekerja, senarai gaji yang diterima oleh pekerja serta slip gaji terakhir yang diterima oleh pekerja.

Sekiranya menghadapi sebarang masalah dalam menyediakan dokumen berkaitan atau sebarang pertanyaan berkaitan perkara berkenaan boleh terus hubungi Puan Zubaidah Husin Naib Pengerusi Persatuan Pengasuh Negeri Pahang ditalian 017-9190664/013-9390748.


Tuesday, March 26, 2013




SAMBUTAN HARI PENGASUH DAN MESYUARAT AGUNG PPNP MERIAH.

Sambutan Hari Pengasuh dan Mesyuarat Agung PPNP kali ke 12 yang telah diadakan selama 2 hari 1 malam di De Rhu Beach Resort Kuantan disambut meriah.

Kehadiran seramai 174 orang di kedua-dua majlis telah membuktikan bahawa PPNP ke arah perubahan dalam memartabatkan pendidikan awal kanak-kanak di Pahang. Kehadiran yang terdiri daripada pengusaha, penyelia dan pengasuh TASKA daripada daerah Kuantan, Pekan, Rompin, Maran, Temerloh dan Bera.

Format yang diperkenalkan bermula tahun lepas iaitu dimulakan dengan acara sukaneka, ceramah motivasi atau pun majlis makan malam dan diakhiri mesyuarat agung sememangnya bertepatan untuk menyatupadukan semua ahli disamping menimba ilmu melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan selama 2 hari 1 malam.

Ceramah motivasi yang telah disampaikan  oleh En Nik Apizo (Caunselor Register) yang mengupas tentang tanggungjawab semua warga TASKA. Intipati ceramah yang menyentuh tentang kewibaan, keprihatinan, keikhlasan, tanggungjawab, jati diri, kenal diri sendiri yang melibatkan semua warga TASKA memberi kesan yang positif dalam diri setiap ahli yang hadir.

Mesyuarat Agung PPNP telah dirasmikan oleh Penolong Pengarah Perundangan dan Advokasi JKM Negeri Pahang, EN Abdul Ghani bin Mohd Yusof. Beliau juga telah memaklumkan kepada semua yang hadir tentang beberapa perubahan di dalam industri TASKA antaranya ;
  • pemberian dana RM10k kepada pengusaha baru dan pengusaha yang ingin membuka cawangan baru.
  • Rumah tengah yang boleh dijadikan TASKA dengan syarat ada ruang luar untuk kanak-kanak bermain.
  • Subsidi untuk setiap kanak-kanak kepada ibu bapa yang berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.
  • Kursus KADAKK (PERMATA) akan bermula Mei, 2013
Mesyuarat kali ini membariskan semula kepimpinan lama dan gabungan beberapa kepimpinan baru untuk menerajui PPNP bagi tempoh 2 tahun. Puan Salina Shamsudin yang diberi mandat, amanah dan tanggungjawab sekali lagi sebagai Pengerusi PPNP bagi tempoh 2 tahun akan datang.

PPNP sangat berharap pada tahun yang mendatang kehadiran majlis sebegini akan bertambah kerana melalui program sebeginilah semua TASKA akan memperolehi informasi terkini. Sehingga kini PPNP mempunyai seramai 300 orang ahli yang melibatkan semua daerah di Negeri Pahang.


             
            Acara Sukaneka                         Penasihat PPNP bersama Penolong Pengarah Perundangan
                                                               Dan Advokasi JKM Negeri Pahang
                                                               En Abdul Ghani bin Mohd Yusof.

Ceramah Motivasi oleh En Nik Apizo daripada MARA Kuala Lumpur